Friday, 3 January 2014

Bahaya Rokok Terhadap Janin

Posted by Unknown at 11:46
BAHAYA ROKOK TERHADAP JANIN

~ Tembakau yang menjadi bahan utama dalam rokok, telah diperkenalkan secara menyeluruh, termasuk ke dunia Islam, oleh penjajah Barat yang beragama Kristian, dan ianya belum pernah dikenali di zaman Nabi Muhammad s.a.w. Di  kalangan  masyarakat  beratus  tahun terdahulu, tembakau dihisap bukan sahaja untuk bersukaria tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak merokok melainkan kerana terpenggaruh kepada orang Barat yang menjajah mereka.

~ Hari ini, merokok adalah suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat kita, sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma yang membanggakan. Anggapan palsu ini terhasil apabila golongan yang mudah terpedaya dengan budaya asing, terutamanya yg dipaparkan melalui media massa, ingin pula bergaya demi mencapai status kecanggihan serta keunggulan yang kononnya dikaitkan dengan merokok. Malah tabiat suka meniru dan menyeleweng dari jalan yang benar adalah sesuatu yang kian menguasai anak-anak kaum Muslimin di zaman ini.

Hadith Rasullullah s.a.w. :
1. "Bezakan diri mu dari kaum Musyrikin" ( Al-Bukhari & Muslim)

2. "Bukan dari golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan dari kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani" (At-Termidzi)

3. "Barangsiapa yang meyerupai sesuatu kaum, maka dia terkira dari golongan itu" (Abu Daud)

Kandungan Berbahaya Dalam Rokok (Fakta)
Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Dengan ini setiap sedutan itu menyerupai satu sedutan maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di "kamar gas maut" bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Bagaimanapun, racun paling penting adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida. 

Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Bahan seperti benzopyrene iaitu sejenis policyclic aromatic hydrocarbon (PAH) telah lama disahkan sebagai agen yang memulakan proses kejadian kanser. 

Nikotin, seperti najis dadah heroin, amfetamin dan kokain, bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding najis dadah. Malah daripada kajian saintifiknya nikotin itu juga sejenis najis dadah, sepertimana yang telah diiktiraf oleh dunia perubatan. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang telah terjerat dengan ketagihan merokok, meninggalkan tabiat itu untuk selamanya, kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua. 

Nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung dan strok. Hampir satu perempat mangsa pesakit jantung adalah hasil punca dari tabiat merokok. Di Malaysia, sakit jantung merupakan menyebabkan utama kematian sementara strok adalah pembunuh yang keempat. 

Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ianya menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. 

Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ianya akan membawa kerosakkan pada setiap organ di sepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan.

~ Bayi di dalam rahim mendapat segala sumber dari ibunya. Itu termasuk zat-zat makanan dan oksigen, melalui uri dan tali pusatnya. Merokok semestinya akan mendedahkan bayi kepada toksin yang terdapat dalam asap rokok. Seorang ibu yang merokok harus berfikir dengan serius tentang keputusan untuk berhenti kerana satu nyawa bergantung sepenuhnya kepadanya. Menjadi hamil boleh memberikan motivasi yang kuat kepada seorang ibu untuk berhenti dari merokok demi anak yang masih belum dilahirkan.

~ Sekiranya seseorang merokok, oksigen di dalam darah akan digantikan dengan karbon monoksida menyebabkan kandungan oksigen di dalam darah akan berkurangan dari biasa. Bahan yang terdapat di dalam asap rokok juga mengandungi pelbagai jenis toksin yang boleh memberi kesan kepada uri yang membawa makanan kepada bayi. Mereka juga lebih berisiko untuk mendapat keguguran semasa awal mengandung dan mengalami pendarahan uri yang boleh menyebabkan kematian bayi.


Masalah kesihatan kepada ibu hamil dan janin yang dikandung
Terdapat pelbagai masalah kesihatan yang harus ditanggung oleh ibu hamil yang terdedah kepada asap rokok. Selain ibu hamil, anak yang berada dalam kandungan juga terdedah kepada bahaya merokok seperti yang berikut :-
• Keguguran janin
• Tumbesaran janin terencat - 30% lebih tinggi
• Kematian janin dalam kandungan
• Pendarahan dari uri (abruption placenta)
• Kurang berat badan - 20 hingga 30%



Masalah kesihatan kepada bayi
• Bayi yang terdedah kepada asap rokok atau juga digelar sebagai perokok pasif juga terdedah kepada bahaya kesihatan seperti yang berikut :-
• Masalah dan penyakit pernafasan
• Perkembangan kecerdasan otot terjejas
• Jangkitan telinga
• Leukeamia
• Kanser otak 22%
• Lelah - meningkatkan simptom lelah
• Sindrom kematian secara mengejut


Alangkah tidak adilnya jika wanita yang merokok yang memilih untuk menderita juga `mendera' kandungannya. Jika bayi ini terus hidup, tempoh penderitaan bayi tersebut mungkin berpanjangan. 

Gunakan Kaedah Yang Betul Untuk Berhenti Merokok
- Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok
- Yakinkan diri
- Buat nota peringatan
- Katakan pada diri anda, “Aku bukan perokok”
- Tumpukan pada hari ini
- Sentiasa berfikiran positif
- Dapatkan sokongan
- Lawan keinginan untuk merokok
- Gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai
- Amalkan Petua 10 M untuk berhenti merokok

Bahaya rokok bukan sahaja memudaratkan si ibu malah turut membahayakan anaknya.Jika anda mengandung dan masih merokok, berhentilah sekarang! “Setiap Sedutan, Membawa Padah”.

0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting