PENJAGAAN LUKA BERSALIN
Bagi yang sudah melalui saat-saat bersalin normal pasti telah merasai sendiri pengalaman menjaga luka episiotomi ketika berpantang. Luka bersalin normal akan cepat sembuh kalau penjagaannya betul dan ibu-ibu sentiasa menitikberatkan kebersihan pada diri. Namun, bagi yang pertama kali melalui detik bersalin dan berpantang pasti tertanya-tanya cara untuk menjaga luka selepas bersalin nanti.
Luka bersalin perlu dijaga dengan baik supaya proses pemulihan dapat berjalan lancar dan tubuh badan dapat kembali kepada keadaan asal. Ada sedikit perbezaan dalam menjaga jahitan C-Section dan episiotomi.
Penjagaan luka bersalin amat penting bagi mengelakkan jangkitan kuman. Teliti panduan-panduan penjagaan khas bagi kedua-dua jenis luka serta pesanan umum bagi keduanya.
Penjagaan khas luka C-Section:
Luka akibat pembedahan C-Section mengambil masa 4-6 minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika merasa lemah dan tidak selesa, itu perkara biasa.
a) Banyakkan rehat
Berehatlah selama yang boleh. Pastikan apa sahaja yang anda dan bayi perlukan berada dekat dengan anda.
b) Tampung abdomen
Sentiasa tampung abdomen dengan struktur badan yang betul ketika berjalan dan berdiri. Pegang abdomen berhampiran dengan luka semasa batuk, bersin atau ketawa.
c) Luka sentiasa bersih dan kering
Bagi mengelakkan jangkitan dan bernanah, pastikan luka sentiasa bersih dan kering:
• Cuci luka ketika mandi
• Keringkan luka dengan pengering rambut
• Sapukan ubat yang dibekalkan terutama sebelum memakai bengkung
• Letakkan tisu sebagai lapik sebelum memakai bengkung bagi menyerap peluh terutama pada bahagian luka
Penjagaan khas luka episiotomi:
Luka episiotomi lebih rumit penjagaannya berbanding luka C-Section kerana tempat luka yang lebih mudah lembab.
•Pad Ais.
Sebaik sahaja melahirkan, letakan pad ais pada luka, ia bukan sahaja mengalakkan luka cepat baik malahan mengurangkan sakit. Letak pada luka selama 10 minit 3-4 jam sekali.
• Pastikan kawasan perineum bersih.
Darah nifas dan air kencing boleh menyebabkan jangkitan kuman pada luka. Pastikan luka bersih dengan membasuh mengunakan air biasa atau lebih baik lagi mengunakan cecair pembasmi kuman yang dipreskripsi oleh doktor. Tidak perlu gunakan cairan sabun yang kuat. Bersih dari depan kebelakang untuk mengelakan cemaran najis. Semasa kecing, cuba duduk secara mencangkung (squat) dan siram air suam semasa kencing.
• Pastikan ia kering.
Mengeringkan kawasan luka menggalakkan proses pemulihan. Bilas faraj 2-3 jam sekali dan biarkan kering dari darah nifas. Anda boleh mengunakan pengering rambut jika mahu. Anda juga digalakkan untuk mendedahkan luka sekali sekala.
• Jangan duduk atau berbaring terlalu lama.
Guna bantal donat atau pelampung berenang berbentuk bulat untuk mengelakkan dari tekanan pada luka.
• Semasa buang air besar, tekan dengan lembut kawasan episiotomi untuk mengurangkan tegangan. Ia juga dapat mengurangkan sakit dan mengelakkan jahitan terbuka.
• Dapat pil penahan sakit sekiranya sakit.
Anda boleh makan paracetamol atau ubat yang lebih berkesan seperti ponstan.
• Elak dari sembelit.
Pastikan minum air secukup untuk melancarkan perjalanan usus. Banyakkan makan fiber atau jika mahu, boleh mencuba Lactulose atau Fybo-gel. Boleh didapati di farmasi berdekatan. Ubat enema tidak digalakan sekiranya luka anda teruk.
• Sitz bath.
Amalkan sitz bath dengan merendam pungung anda dalam besin berisi air garam. Ia mengurangkan sakit dan membersih luka sehingga dalam vagina.
• Senaman Pelvic floor.
Buat senaman kegel secara rutin. Ia membuat luka cepat sembuh dengan mengalakkan perjalanan darah ke vagina. Buat 100-200 kali sekali. Anda akan dapat melihat perubahannya.
• Pastikan tiada tanda jangkitan kuman seperti kesakitan dan pembengkakan. Jumpa doktor sekiranya ada masalah ini.
• Jangan percaya pada mitos.
Mitos seperti minum air banyak akan meyebabkan peranakan berair atau memakan sayuran kerana menyebabkan angin adalah tidak benar sama sekali. Minum air secukupnya penting kerana selepas 1-3 hari bersalin badan secara semula jadi akan membuang air lebihan yang terkumpul semasa hamil dan ini akan membuatkan badan kekurangan air medadak, menjurus kepada masalah sembelit dan kekurangan susu badan. Kekurangan air juga menyebabkan luka episiotomi sukar sembuh dan masalah sembelit pula akan menyebabkan kesakitan ketara pada luka anda.
Pesanan tambahan
a) Minum banyak air
Minumlah air dengan banyak terutama jika anda mengalami koyakan pada perineum yang melibatkan bahagian dubur (koyakan tahap 3 dan 4). Ia dapat menggantikan cecair dalam badan yang hilang dan mengelakkan sembelit. Kosongkan pundi kencing selalu bagi menghindari jangkitan pada saluran kencing (UTI).
b) Perhatikan tanda-tanda jangkitan
Pastikan luka tidak dijangkiti kuman. Hubungi doktor atau pihak hospital jika anda dapati perkara berikut: luka menjadi merah, merasa panas, membengkak dan terdapat cairan seperti nanah; demam panas sehingga 38C; atau sakit yang semakin teruk di sekitar luka.
c) Ambil ubat jika perlu
Ambillah ubat tahan sakit apabila dirasakan perlu seperti ibuprofen atau acetaminophen. Elakkan aspirin jika anda menyusukan bayi kerana ia memberi kesan negatif.
4) Elakkan mengangkat benda berat
Hindari daripada mengangkat benda berat kerana ia akan memberi tekana terhadap lantai pelvis dan abdomen anda.
5) Hubungan kelamin
Tubuh anda memerlukan waktu untuk pulih sepenuhnya, begitu juga dengan organ peranakan. Berikan masa sebelum anda kembali melakukan hubungan kelamin, mungkin antara 4-6 minggu selepas melahirkan.
Banyakkanlah bersabar.Pemulihan luka selepas bersalin mengambil masa. Bersabarlah dan jangan terburu-buru untuk cepat melakukan kerja-kerja berat. Simpan tenaga anda untuk menguruskan bayi dan diri anda supaya tubuh badan anda dapat pulih dengan baik sepenuhnya.
Friday, 27 December 2013
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments :
Post a Comment