Sunday 16 March 2014

Selamatkah Retinol Semasa Hamil

Posted by Unknown at 11:15
 Selamatkah Retinol Semasa Hamil 

Sekali dengar, mungkin anda fikir retinol tiada kaitan dengan anda. Namun, tahukah anda bahawa ramai wanita menggunakan produk-produk kosmetik terdedah kepada retinol? Ini kerana, sebenarnya retinol merupakan jenis Vitamin A untuk mengubati jerawat dan pengelupasan kulit mati. Ia juga biasanya terdapat dalam losyen anti penuaan. Kajian mendapati bahawa dos retinol yang terlalu tinggi dapat mengganggu pertumbuhan janin (fetus).

Apakah retinol?
~ Retinol berasal daripada retinoid. Retinoid ialah sejenis vitamin A yang mempercepatkan pembahagian sel. Disebabkan manfaat ini, ia digunakan secara berleluasa dalam produk kecantikan kerana dapat mengembalikan kesegaran kulit dan menghalang kolagen kulit daripada pecah. Namun, penggunaannya yang berlebihan pada kulit dikatakan boleh membahayakan bayi anda kerana retinol mampu diserap oleh kulit dan masuk ke dalam saluran darah. Selain retinol, retinyl linoleate, retinyl palmitate, tretinoin, tazarotene dan adapelene adalah beberapa bentuk kimia lain yang turut berasal daripada retinoid.

Bilakah retinol tidak selamat semasa kehamilan?
~ Sewaktu hamil, anda bukan sahaja perlu memilih dan menjaga pemakanan anda, tetapi anda juga harus memerhatikan beberapa aspek lain yang mungkin dipandang remeh seperti penggunaan bahan kimia secara luaran pada bahagian tubuh anda. Mungkin sebelum ini anda tidak pernah membaca label pada produk kecantikan yang anda gunakan untuk mengetahui kandungannya dengan teliti.
~ Walaupun masih belum terdapat sebarang statistik yang mengaitkan penggunaan retinol dengan bahayanya terhadap janin secara langsung, kebanyakan pakar menasihati wanita hamil supaya mengurangkan sebarang bentuk penggunaannya seboleh mungkin. Oleh itu, sekiranya anda mendapati bahawa ia mengandungi sebarang bentuk komponen retinoid, pastikan anda tidak menggunakannya secara berlebihan.

Adakah Alasan Untuk Panik
~ Sekiranya anda baru menyedari bahawa produk yang saban anda gunakan setiap hari mengandungi retinol, jangan panik! Ini kerana kebanyakan produk kecantikan mempunyai kandungan retinol dalam kadar yang selamat. Maka, anda tidak perlu risau sekiranya anda tidak melumurkan losyen tersebut pada keseluruhan bahagian badan anda! 
~ Tambahan pula, hanya kepekatan retinol yang tertentu sahaja dipercayai mampu menjejaskan janin anda, di mana penggunaannya dalam kuantiti yang sederhana dianggap masih selamat. Sungguhpun begitu, anda dinasihatkan untuk berbincang dengan doktor anda sekiranya anda berasa ragu-ragu terhadap sebarang produk atau ubat-ubatan yang telah anda gunakan secara berlebihan sepanjang kehamilan.

Alternatif semasa kehamilan
~ Sebenarnya, ketika hamil anda dianugerahkan dengan hormon tertentu yang berupaya menjadikan kulit anda luarbiasa licin dan berseri. Namun, tidak semua mengalami keadaan ini kerana setiap wanita mengalami tubuh badan yang berbeza. Justeru itu, sekiranya anda mempunyai masalah kulit atau jerawat yang teruk semasa hamil, jangan ragu-ragu untuk mendapatkan cadangan doktor tentang masalah ini. Kini pelbagai produk organik telah dijual di pasaran. 
~ Produk sebegini biasanya bebas bahan kimia dan sesuai digunakan ketika hamil. Selain itu, apa kata anda membuat masker menggunakan sayur-sayuran dan buah-buahan segar? Ia merupakan sumber yang disahkan selamat serta sangat menyamankan! 

** Jangan lupa untuk menjaga kebersihan dan kesihatan diri dengan sebaik mungkin kerana wanita hamil amat sensitif dan mudah dipengaruhi oleh keadaan persekitaran. Di samping itu, cubalah amalkan petua-petua tradisional dengan menggunakan bahan semulajadi yang segar dan selamat seperti daun lidah buaya atau buah tomato.


0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting