Wednesday, 12 March 2014

Membedung Bayi: Rahsia Tidur Nyenyak

Posted by Unknown at 11:57
Membedung bayi ialah ‘membungkus’ bayi anda dengan kain menggunakan teknik atau seni tertentu bagi memberi keselesaan kepada bayi baru lahir. Amalan ini memang amat sinonim dengan masyarakat Melayu, bahkan ia sudah menjadi suatu kebiasaan bagi ibu-ibu di sini sejak turun-temurun.

Bagaimana membedung dapat membantu bayi tidur lena?

~ Sebab utama bayi dibedung ialah untuk membantunya mengatasi refleks terkejut (startle reflex). Bedung akan membuatnya segera tidur kembali kerana ia merasa seperti dipeluk. Bayi baru lahir sering mengalami refleks ini dan ia kerap terjadi pada tahap tidur yang lena (deep sleep) lalu mengganggu tidurnya. Pada hari-hari terawal kelahiran bayi juga, tubuhnya masih belum dapat menyesuaikan dengan suhu sekitar. Oleh itu, membedung bayi dapat memastikan bayi kekal hangat dan berasa sangat selesa untuk tidur.

~ Selain itu, membedung bayi juga dapat memberi beberapa kebaikan lain kepada ibu dan bayi. Dengan membedung bayi, pergerakan ibu dan bayi akan dapat dikurangkan sekaligus melancarkan proses penyusuan susu badan. Ini kerana, ada beberapa ibu yang pertama kali menyusukan bayi mengalami kesulitan kerana masih kekok untuk mendapatkan posisi yang sesuai sementara bayi juga masih belajar untuk mencari posisi dan teknik menyusu yang paling sesuai untuknya. Apabila dibedung juga, bayi akan berada dalam posisi terlentang ketika tidur. Justeru, ia dipercayai dapat membantu mengurangkan risiko kematian mengejut.

Langkah-langkah membedung bayi
• Bentangkan kain bedung seperti bentuk berlian. Tarikkan bucu kain di bahagian atas dan lipatkannya kira-kira 15cm ke bawah.
• Baringkan bayi dengan meletakkan kepalanya atas lipatan tadi. Pastikan aras kain melintang berada sejajar dengan bahu bayi.
• Tarik bucu kain sebelah kiri sambil menutupi badannya, dan selitkan lebihan kain di bawah lengan kanannya.
• Tarik bucu kain di sebelah bawah ke atas. Pastikan kain tidak terlampau ketat dan tinggalkan sedikit ruang agar kaki bayi masih boleh bergerak dan dibengkokkan sedikit.
• Tarik bucu kain sebelah kanan menutupi badan bayi dan selitkan lebihan kain ke bawah belakangnya di sebelah kiri.
Sesetengah bayi lebih suka dibebaskan lengan, jadi anda mungkin mahu membedung bayi anda dari bawah ketiaknya, supaya dia dapat menggunakan tangan dan jarinya. Tetapi, pastikan anda memakaikannya sarung tangan supaya bayi tidak mencakar muka sendiri.



Tip-tip membedung bayi
• Jangan membedung bayi dengan terlalu kuat atau memaksa kaki bayi agar lurus kerana amalan seperti ini boleh merosakkan sendi lututnya dan mampu menyebabkan displasia pangkal paha (hip dysplasia). Untuk mencegahnya, pastikan anda meninggalkan ruang yang cukup pada bahagian bawah bedung (bahagian kaki) untuk bayi membengkokkan lututnya.
• Jika bayi berada dalam persekitaran yang dingin, anda boleh memakaikan baju dan seluar panjang kepada bayi sebelum dibedung. Sebaliknya, jika cuaca sedang panas, pastikan anda memakaikannya baju yang pendek dan nipis bagi mengelakkan bayi kepanasan.
• Pastikan kain bedung tidak terlalu longgar kerana dikhuatiri bayi bergerak sehingga kain bedung menutup mukanya sendiri.
• Bayi yang dibedung ketika tidur sebaiknya dijauhkan daripada berada terlalu dekat dengan anda kerana kemungkinan ia akan berasa panas setelah beberapa ketika akibat perpindahan haba daripada tubuh anda. Pastikan bayi diletakkan di ruang yang mempunyai pengaliran udara. Jika bayi anda dibedung, anda tidak perlu menyelimutkannya lagi ya!
• Pastikan bayi tidak lapar atau basah sebelum anda membedungnya.
• Sesetengah sumber menasihatkan agar anda menghentikan bedung sebaik sahaja bayi anda mencapai usia kira-kira sebulan. Ini kerana, bedung dianggap boleh mengganggu pergerakan dan pembesarannya. Namun, sesetengah sumber berpendapat bahawa bayi masih boleh dibedung selepas usia 1 bulan, asalkan anda tidak membedungnya sewaktu bayi berjaga.
• Ada bayi yang suka dibedung dan ada yang sangat rimas apabila dibedung. Apabila bayi anda mula menendang kain selimut itu, ia mungkin satu petanda yang dia tidak lagi mahu dibedung begitu rapi!

Semoga dengan sedikit info ini dapat memberi manfaat kepada bakal ibu dan ayah di luar sana..



0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting