Saturday 8 March 2014

Makanan Selepas Bersalin*8 Makanan yang Patut Dimakan*

Posted by Unknown at 17:23
 Makanan Selepas Bersalin *8 Makanan yang Patut Dimakan*

Selepas bersalin, fokus utama ibu ialah untuk menyembuhkan tubuh badan mereka dengan cepat terutamanya bagi ibu yang menyusukan bayi mereka. Untuk itu, pemilihan jenis makanan selepas bersalin yang tepat amat sesuai supaya penyembuhan tubuh badan berlaku dengan teratur dan sempurna.

Kurma
Kurma merupakan antara makanan terbaik untuk ibu kerana ia kaya dengan potassium yang mampu memberi tenaga kepada ibu selepas bersalin. Ia juga mengandungi gula ringkas, di mana ia mudah dicerna dan tidak akan menambah tekanan kepada sistem badan ibu.

Madu
Madu dianggap sebagai ‘makanan super’ oleh pelbagai jurnal perubatan. Ini kerana madu mengandungi pelbagai khasiat antaranya Folat, Vitamin B2 (Riboflavin) dan juga potasium. Di samping itu, kandungan gula ringkas di dalam madu membuatkan ia mudah dicerna dan mampu memberikan tenaga segera kepada ibu.

 Susu atau produk susu
Susu atau mana-mana produk susu mengandungi kalsium, iaitu satu komponen penting dalam pembentukan tulang. Ketika hamil, bayi di dalam kandungan anda telah banyak mengambil bekalan kalsium untuk pembentukan tulangnya. Maka sewajarnya anda menggantikan semula bekalan kalsium tersebut.

 Ayam
Ayam merupakan sumber protein yang baik dan juga mudah dicerna. Namun begitu, pastikan ayam dibuang kulitnya dan juga elakkan sajian goreng. Banyakan resepi sup ataupun kukus untuk mengekalkan kandungan zat dan khasiatnya.

 Ikan
Ikan merupakan satu lagi sumber protein yang sangat baik untuk ibu selepas bersalin. Pastikan anda mengambil ikan isi putih (tenggiri, parang) berbanding ikan isi gelap yang lebih berminyak (kerapu)

 Buah-buahan
Buah-buahan merupakan sumber makanan yang kaya dengan serat. Ia penting bagi mengelak berlakunya sembelit yang biasa berlaku kepada ibu selepas bersalin. Buah-buahan juga kaya dengan Vitamin C yang berfungsi membantu penyerapan Zat Besi dengan lebih sempurna.

Sayur-sayuran hijau berdaun 
Sayur-sayuran hijau berdaun juga kaya dengan Vitamin C yang berfungsi membantu penyerapan Zat Besi dengan lebih sempurna. Selain dari itu, sayur-sayuran juga bertindak sebagai penyembuh luka kerana kandungan Vitamin C di dalamnya.

Daging merah
Daging merah merupakan sumber terbaik protein. Protein sangat penting bagi ibu selepas bersalin kerana ia terlibat dalam proses pembentukan sel dan juga dalam proses pembinaan tubuh badan. Selain itu, daging merah kaya dengan Zat Besi yang sangat penting dalam pembentukan sel-sel darah merah. 

Anda tidak digalakkan memakan sumber kalsium bersama dengan suplemen Zat Besi kerana kalsium akan menghalang proses penyerapan Zat Besi dalam badan anda.

Perlu diingatkan, makanan berkhasiat hanya membantu sebahagian sahaja dalam proses penyembuhan selepas bersalin. Para ibu disarankan agar berehat secukupnya dan tidur sekurang-kurangnya 8 jam sehari bagi mengelakkan keletihan.

0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting