Saturday 8 February 2014

Meroyan Selepas Bersalin

Posted by Unknown at 11:59
Meroyan Selepas Bersalin

MEROYAN atau kemurungan posnatum ialah satu masalah yang biasa yang dihadapi wanita selepas bersalin.Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami oleh wanita sewaktu atau selepas pantang. Pada tahap ini wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.


Ramai yang beranggapan masalah ini banyak terjadi kepada wanita Melayu, tetapi hakikatnya meroyan atau turut dikenali ‘pos-natal blues’ lebih banyak menyerang wanita di Barat.Masalah ini juga dilihat sering kali dihidapi oleh wanita biasa tetapi  sebenarnya  ia turut menimpa wanita profesional.Pakar mendapati masyarakat Malaysia khusus orang Melayu lebih prihatin dengan penjagaan selepas bersalin, wanita selepas bersalin selalunya akan mendapat lebih perhatian daripada ahli keluarga, sedangkan perkara seperti itu kurang berlaku di Barat.

Siapa yang diserang?

Tiada kajian khusus kenapa setengah wanita menjadi murung dan yang lain tidak. Bagaimanapun pakar mendapati antara puncanya adalah kekurangan hormon selepas bersalin serta perubahan yang berlaku kepada badan mereka dan kebiasaannya terjadi pada hari kelima selepas bersalin.


Selain itu wanita terbabit juga merasa tertekan dengan keadaan baru mereka apabila melihat bayi yang sering menangis atau berasa letih untuk berdepan dengan tugas baru mereka.

Sejarah kemurungan atau masalah sakit mental terdahulu atau kemurungan semasa hamil juga boleh menjadi penyebab perkara itu berulang di samping kurangnya sokongan suami serta ahli keluarga terdekat.



Simptom awal meroyan 
Tanda dan simptom adalah berbeza bagi setiap ibu, tetapi anda akan merasa:
~ Perasaan putus asa
~ Bersalah
~ Amat letih
~ Muram
~ Sering menangis
~ Sunyi
~ Gelisah
~ Terperangkap

Semua ibu merasakan satu atau lebih dari perasaan ini pada masa-masa tertentu. Tapi, jika anda merasa tidak berdaya langsung dan perasaan ini tidak reda-reda walaupun masa terus berlalu, anda mungkin menghidap meroyan atau kemurungan posnatum.


Punca meroyan

1) Kemurungan atau masalah sakit mental terdahulu atau kemurungan semasa kehamilan.
2) Suami kurang menyokong atau tidak mempunyai keluarga atau kawan-kawan yang tinggal berdekatan.
3) Masalah kewangan, perumahan, kerja.
4) Kelahiran yang rumit dan masalah kesihatan yang menyusul selepas itu.
5) Melahirkan bayi pramatang atau tidak sihat.
6) Kesukaran untuk menyusu badan.
7) Memori sedih yang diingat kembali seperti kematian salah seorang 

Bahaya jika tidak dikawal

Walaupun meroyan atau kemurungan posnatum ini satu perkara biasa, namun jika tidak dirawat boleh menjadi serius sehingga mencederakan diri dan bayi.Perhatian daripada ahli keluarga sangat penting ketika ini, mereka perlu peka dengan perubahan yang berlaku. Jika didapati kemurungan itu tidak terkawal, adalah lebih baik membawa wanita terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

Kaedah rawatan
>> Kebiasaannya masalah pos-natal blues ini tidak perlu dirawat kerana ia boleh pulih dengan sendiri selepas dua ke tiga minggu.
>> Namun, jika didapati berada dalam keadaan tidak terkawal rawatan berbentuk ubat-ubatan diperlukan bagi mengimbangi hormon pesakit.
>> Jika didapati keadaan semakin serius pesakit juga akan dirujuk kepada pakar psikiatri.

Suami, ahli keluarga main peranan
# Pada hari-hari terawal selepas bersalin, keberadaan suami dan ahli keluarga terdekat sedikit sebanyak mampu melegakan wanita terbabit kerana mereka merasakan seperti disayangi dan dihargai.
# Sokongan dan perhatian daripada suami amat diperlukan, bantuan daripada ahli keluarga juga mampu mengurangkan tekanan wanita selepas bersalin.
# Wanita juga jangan rasa segan silu untuk memberitahu pasangan atau ahli keluarga mereka jika berhadapan dengan keadaan sukar supaya orang sekeliling anda boleh membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Apa yang penting di sini, sokongan dan perhatian daripada orang sekeliling amatlah penting kepada wanita selepas bersalin terutamanya kepada suami yang mana mereka perlu menjalankan tanggungjawab yang sepenuhnya dalam membantu isteri daripada menghadapi sebarang tekanan…


0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting