Wednesday 26 February 2014

Mengidam- 10 Makanan paling popular

Posted by Unknown at 16:31
 Mengidam- 10 Makanan paling popular 

Mengidam merupakan perkara biasa yang berlaku kepada ibu mengandung. Ia disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku dalam tubuh anda. Akibatnya, anda sering berasa teringin memakan makanan-makanan tertentu. Makanan yang manis dan masin serta berempah atau yang tinggi kandungan lemak, merupakan makanan yang paling popular di kalangan ibu hamil. Jangan terkejut kerana bukan hanya makanan yang diidamkan tetapi juga bahan bukan makanan seperti kapur dan kepingan cat atau tanah! Mari kita lihat senarai 10 makanan paling popular yang diidamkan oleh wanita hamil:

 Jeruk/asam/acar
# Jeruk atau asam sangat sinonim dengan tabiat mengidam di Malaysia. Jika anda bukanlah peminat asam atau jeruk sebelum ini, tentu ramai yang dapat mengagak bahawa anda sedang hamil ketika anda memakannya! Sebenarnya tidak ada salahnya mengidam makan asam, namun jangan mengambilnya ketika perut masih lagi kosong kerana makanan seperti ini bersifat menghakis dan berisiko untuk melukai perut jika diambil ketika perut dalam keadaan kosong. Cuba elakkan jeruk yang diperam dengan bahan pengawet kerana ia mengandungi banyak kalori dan mengandungi bahan pengawet.



 Mangga/Mempelam
# Buah-buahan yang masih muda dan amat masam seperti mempelam muda, kedondong, dan buah cermai juga tidak kurang popular dalam senarai mengidam. Rasanya yang masam memberi ‘kejutan’ kepada deria rasa anda sekali gus membantu memberi kelegaan kepada rasa loya dan mual yang sering dialami. Sungguhpun buah-buahan muda dan masam ini merupakan alternatif yang lebih sihat berbanding jeruk atau asam, anda haruslah berpada-pada dalam pengambilannya kerana tubuh badan anda masih memerlukan nutrien penting daripada sumber makanan lain untuk perkembangan bayi.

 Aiskrim
# Aiskrim memang sangat digemari oleh wanita, tidak kiralah sama ada mereka sedang hamil atau tidak! Oleh kerana ianya sejuk dan mempunyai pelbagai perisa, tidak hairanlah ramai wanita hamil selalu mengidam untuk memakannya. ia benar-benar menyamankan tekak, terutamanya pada hari-hari panas. Untuk pilihan yang lebih sihat, cubalah bertukar kepada yogurt rendah lemak yang ditabur dengan buah-buahan segar sebagai ‘topping’. Ia tetap menyegarkan!.

 Coklat
# Memakan coklat ialah seperti ‘terapi’ untuk wanita di kala mereka sedang murung. Tidak seperti ramai wanita lain, wanita hamil lebih kerap mengalami perubahan turun naik hormon yang kadangkala mengganggu emosi mereka. Oleh itu, mungkin sahaja wanita hamil mengidam untuk memakan coklat kerana ia boleh menggembirakan mereka.

 Roti Canai
# Memang sedap dimakan ketika panas! Mungkin kerana ramai wanita berasa loya dan muak untuk makan nasi, mereka lebih teringin untuk makan roti canai. Namun, anda tentu arif tentang kalorinya yang berlipat ganda, kan?

 Buah-buahan segar
# Bukan semua wanita mengidam makanan yang berlemak dan tidak sihat. Buah-buahan segar juga turut menjadi pilihan ramai wanita hamil. Oleh itu, makanlah jambu, manggis, duku, tembikai, dan banyak lagi buah-buahan.

 Kentang Goreng
# Sememangnya snek yang amat lazat, tetapi anda perlu mengawal kuantiti pengambilannya kerana ia mengandungi banyak garam serta tinggi kandungan lemak dan kalori.

 Minuman Berkarbonat
# Minuman soda berkarbonat yang diidamkan oleh wanita hamil sebenarnya dapat membantu mengurangkan ‘morning sickness’ kerana karbonat dapat melegakan perut dan rasa mual yang anda alami. Selain itu, kopi juga dikatakan dapat melegakan sakit kepala dan kemurungan walaupun ramai doktor selalunya menasihatkan wanita hamil untuk mengelakkan sebarang minuman berkafein.

 Makanan pedas
# Mungkin kerana popularitinya di Malaysia, wanita hamil di Malaysia juga selalu mengidam makanan-makanan yang pedas. Walaubagaimanapun, janganlah memakan terlalu banyak makanan pedas kerana ia boleh menyebabkan pedih ulu hati.

 Durian
# Sesetengah sumber tidak menggalakkan wanita hamil untuk memakan durian. Tetapi orang Malaysia sangat sukar untuk ‘berpantang’ dari memakan durian. Begitu juga halnya dengan ibu mengandung. Namun, jika anda berisiko diabetes, seboleh-bolehnya kawallah kuantiti pengambilannya.


** Cubalah pastikan bahawa anda mendapat gizi yang seimbang daripada makanan lain juga. Lakukanlah aktiviti yang boleh membuatkan anda melupakan perasaan mengidam anda seperti bersiar-siar dan menonton wayang. Jangan jadikan makanan sebagai teman rapat atau penawar rasa gelisah anda, sebaliknya dapatkanlah sokongan dan pelukan daripada suami untuk meredakan emosi ibu mengandung...

0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting