Monday, 3 February 2014

Kenali Karakter Si Manja

Posted by Unknown at 14:31
 Kenali Karakter Si Manja Anda 

~ Setiap bayi yang dilahirkan di muka bumi Allah ini disertakan dengan seribu macam keistimewaan yang unik. Daripada lahirnya menerusi pintu rahim ibu amat mengagumkan dan membuktikan kebesaran Ilahi. Menyaksikan perubahan dan perkembangan mereka adalah agenda yang amat mengujakan bagi setiap ibu bapa.

~ Daripada hanya mampu menangis kepada seorang yang bijak menuturkan baris perkataan, daripada tidak mampu bangun sehingga boleh berlari aktif. Begitulah pertumbuhan dan perkembangan seorang anak. Ia bukan sahaja dilihat dan dinilai dari sudut fizikal semata-mata, malah turut diukur dari sudut mental, emosi dan rohaninya.


~ Menjurus kepada perkembangan emosi, setiap bayi yang dilahirkan mempunyai pelbagai bentuk emosi atau ‘temperament’ yang mempengaruhi dan membentuk karakter setiap anak dan membezakan mereka dengan yang lain. Bayi yang luarannya nampak sama dapat dibezakan mengikut karakter, contohnya mudah menangis, aktif, suka dipeluk, takut, pasif, malu dan pelbagai lagi.


Mengikut kajian, bayi dikategorikan kepada empat karakter:
a) PERTAMA: 
* Bayi yang mudah bergaul dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru atau dipanggil “easy babies” biasanya merupakan seorang yang ceria dan mudah untuk bergaul dengan orang lain. Bayi kategori ini mudah dijaga dan tidak banyak ragam. Untuk anak ini, peranan ibu bapa lebih sebagai fasilitator, banyak tertumpu kepada menunjuk arah dan dorongan supaya anak terdorong untuk melakukan perkara-perkara yang baik.


b) KEDUA: 
* ”Difficult babies”. Bayi kategori ini susah untuk sesuaikan diri dengan orang yang tidak dikenali dan suasana yang baru. Sentiasa dalam keadaan tegang dan moody apabila berada di dalam suasana yang baru. ”Difficult babies” selalunya akan menghadapi kesukaran ketika di alam persekolahan dan lebih agresif. Kebanyakan mereka digolongkan sebagai pelajar yang bermasalah di sekolah. Untuk anak ini, kita perlu tumpukan banyak aktiviti yang menggunakan fizikal dan menguji ketajaman pancaindera seperti ajak mereka bermain, bersukan, melukis, berkebun dan sebagainya. Aktiviti yang banyak menggunakan bahasa tubuh seperti mimik muka banyak membantu anak ini untuk belajar. Di sini, ibu bapa perlu bersikap lebih proaktif dan tidak cepat mengalah. Sikap kreatif anda boleh membantu anak menghadapi kesukaran dalam hidup bermasyarakat.


c) KETIGA: 

* ”Slow-to-warm-up babies” ialah bayi yang pasif dan lambat untuk memberikan tindak balas kepada keadaan atau situasi yang baru dan orang baru dikenali. Jika mereka memberi tindak balas, tindak balas yang dilakukan sederhana, tidak terlalu aktif. Anak ini merupakan seorang yang sangat berhati-hati dan cenderung untuk menjadi ‘observer’ sebelum memulakan sesuatu. Untuk anak ini, ibu bapa perlu banyak memberi rasional dan fakta kepadanya terhadap sesuatu perkara. Untuk pembelajaran, bantu anak ini dengan mengajukan banyak soalan dan menggunakan peta minda.


d) KEEMPAT: 
* ”Shy babies”. Bayi ini lazimnya takut kepada keadaan persekitaran yang baru dan orang yang baru dikenali. Kebiasaannya, bayi yang berada di dalam kategori ini sukar untuk bergaul dan kurang keyakinan untuk berhadapan dengan orang ramai. Sifat takut dan pemalu menjadi batu penghalang yang besar kepadanya untuk bertindak seperti biasa. Anak ini perlu diberikan pendedahan kepada orang ramai dan selalu ulang kepadanya “anak boleh!”, beri dia keyakinan dan jangan memperkecilkan dirinya terutama di khalayak ramai. Pujian juga amat diperlukan untuk menambahkan keyakinan dirinya.

~ Karakter bayi dikawal secara stabil oleh sistem biologi tubuh yang dipanggil ‘amygdala’ yang berfungsi mengawal emosi. Oleh itu, karakter dan tingkah laku seseorang semasa bayi mempengaruhi karakternya sebagai seorang individu. Ini terbukti dengan kajian yang dijalankan kepada “shy child” yang dihadapkan dengan situasi yang baru dan orang yang tidak dikenali. Sistem ‘amygdala’ nya bertindak dengan berlebihan dan menghasilkan emosi takut yang teramat berbanding dengan kanak-kanak lain. Keputusan ini berlaku secara konsisten kepada individu ini apabila ujian yang sama dijalankan sewaktu usianya meningkat remaja.

~ Walau bagaimanapun, persekitaran turut memainkan peranan terhadap situasi ini. Bermakna bayi yang mempunyai karakter tertentu boleh keluar daripada karakter tersebut dengan bantuan orang di sekelilingnya teruatama ibu bapa dan ahli keluarganya.

Oleh itu, anda tidak perlu bimbang jika bayi anda tergolong dalam salah satu karakter di atas kerana andalah yang mencorakkan peribadi anak anda sejak dari bayi lagi...

0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting