Wednesday, 8 January 2014

Tangisan, Cara Bayi Berkomunikasi

Posted by Unknown at 17:10
Tangisan, Cara Bayi Berkomunikasi


Anda baru sahaja ingin melelapkan mata. Tiba-tiba anak menangis. Hendak kejutkan isteri tidak sampai hati. Tidurnya lena mungkin kerana terlalu penat. Tangisan anak yang semakin kuat menjadikan anda panik. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

Sekiranya berhadapan dengan situasi ini, anda tidak perlu risau. Jangan rasa panik. Anda kena bertenang. Tidak dinafikan rasa panik adalah lumrah bagi lelaki yang baru pertama kali bergelar bapa. Tapi, inilah masa terbaik untuk anda belajar cara-cara untuk meredakan bayi yang menangis.

Dalam kes bayi menangis, jika anda rasakan bayi menangis kerana lapar, itu kurang betul. Ada banyak sebab bayi menangis. Mungkin ramai di kalangan kita tidak tahu yang bayi tidak mempunyai cara untuk berkomunikasi dengan orang-orang di sekelilingnya kecuali dengan tangisan. Anda perlu belajar memahami cara tangisan tersebut agar lebih mudah untuk anda tahu apa yang diinginkan oleh si kecil anda.


Pada peringkat awal tumbesarannya, bayi akan menangis untuk memberitahu yang dia sedang bermasalah. Antara masalah yang biasa dialami bayi ialah:

a) Lapar
Tidak dinafikan bahawa sering kali tangisan bayi dikaitkan dengan rasa lapar. Jadi, sebagai bapa, anda mestilah peka tentang hal ini. Pastikan anak mendapat makanan yang secukupnya. Bagi bayi yang belum berusia 6 bulan, makanan yang dimaksudkan tentulah susunya. Para bapa kenalah ambil tahu jadual minum susu anak agar anda tahu bilakah waktunya dia kena menyusu.

b) Lampin Basah
Rasa tidak selesa akibat basah pun boleh menyebabkan bayi menangis. Oleh yang demikian, rajin-rajinlah periksa lampin bayi anda dan tukar lampin tersebut dengan kerap bagi mengelakkan punggungnya basah. Menjaga kebersihan bahagian lampin bayi sangat penting agar dapat mengelakkan masalah ruam yang akan membuatkan bayi rasa gatal dan tidak selesa.

c) Tidak Selesa Dengan Persekitaran
Keadaan persekitaran juga sering mengganggu bayi. Suasana sekeliling yang terlalu bising dan sempit boleh menyebabkan bayi menangis. Bukan itu sahaja, suhu yang terlalu panas atau terlalu sejuk pun boleh mengganggu keselesaan bayi.

d) Bayi Terjatuh
Ada ibu bapa yang gemar menidurkan bayi mereka di dalam buaian. Amalan seperti ini terutamanya pada waktu malam tidak praktikal kerana macam-macam boleh berlaku di dalam buaian ketika anda sedang tidur. Salah satu perkara yang boleh berlaku ialah terjatuh. Bayi yang tidur lasak mudah terjatuh dari buaian lebih-lebih lagi jika dia dibiarkan tidur sendirian.

e) Kembung Perut
Bayi juga terdedah kepada masalah kembung perut. Masalah yang turut dikenali sebagai kolik ini akan menyebabkan bayi menangis dalam satu jangka masa yang panjang. terutamanya pada waktu petang. Biasanya untuk meredakan sakit perut yang dialami bayi, urut bahagian perutnya dengan lembut menggunakan minyak yang sesuai. Urut juga bahagian belakang tubuhnya. Selain daripada meredakan kesakitan yang dialami, urutan boleh menenangkan bayi.


** Tahukah anda setiap tangisan bayi mempunyai maksud tersendiri untuk mengungkap keinginannya.Kerana itu perlu untuk anda fahami apakah maksud di sebalik tangisan bayi agar lebih mudah untuk anda menanganinya.

Kepada bapa-bapa sekalian, tangisan bayi adalah lumrah dalam kehidupan berkeluarga. Bayi memang selalu menangis. Oleh itu, anda perlulah bersedia untuk menghadapinya..




0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting