Ibu bapa mesti pernah mendengar fakta bahawa protein merupakan salah satu nutrient yang penting dan mempunyai peranan yang besar dalam kesihatan anak-anak. Tetapi, adakah ibu bapa tahu bagaimana protein membantu dalam tumbesaran anak-anak?
Protein membantu dalam pembesaran tubuh bayi, dan membaiki dan menyembuhkan tisu yang rosak dalam badan. Protein memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan kesihatan dan mengelakkan penyakit.selain itu, protein juga membantu dalam:
- Menggantikan sel badan yang rosak dan mati.
- Mengekalkan jumlah dan komposisi cecair dalam badan
- Mempertahankan badan daripada penyakit dengan menguatkan sistem immunisasi dalam badan
Protein kurang atau lebih?
Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan yang tinggi nilai protein. Hal ini menyebabkan timbulnya masalah pengambilan protein secara berlebihan. Menurut kajian, diet yang diamalkan yang mengandungi tinggi protein tidak memberikan kelebihan sebaliknya boleh memudaratkan. Penyakit seperti sakit jantung, obesiti dan batu karang boleh menyerang pengamal diet yang tinggi nilai protein. Pengambilan berlebihan juga boleh membawa kepada masalah tinggi kolesterol dalam darah kerana kebanyakan makanan yang tinggi nilai protein mempunyai nilai kolesterol yang tinggi.
1. Beri anak anda makan ikan lebih kerap, setiap hari kalau boleh.
2. Tingkatkan pengambilan susu dan produk tenusu untuk anak anda.
3. Beri anak anda makan daging, ayam dan telur secara sederhana.
4. Praktikkan cara masakan yang sihat seperti kurangkan penggunaan MSG sebagai bahan utama dalam masakan.
5. Pilih daging dan ayam yang kurang lemak dan kolesterol dalam pengambilan seharian.
6. Beri anak anda makan produk kekacang setiap hari.
Berapa banyak protein yang perlu diambil?
Menurut Recommended Nutrient Intake (RNI) Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), nilai protein yang perlu diambil oleh kanak-kanak yang berumur satu hingga enam tahun ialah 17-23 gram sehari. Untuk yang berusia tujuh hingga 12 tahun pula memerlukan protein 32-46 gram secara anggarannya.
Berikut adalah contoh bagaimana pemberian protein untuk anak anda:
Sarapan: sebiji telur hancur
Makan tengah hari: ½ ekor tenggiri
Minum petang: secawan susu
Makan malam: 1 peha ayam
Ibu bapa boleh mengubah menu yang disarankan di atas mengikut kesesuaian untuk anak mereka. Ibu bapa dinasihatkan untuk membawa anak mereka berjumpa dengan pakar pemakanan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pemakanan anak mereka.
Sebagai kesimpulannya, walaupun protein penting bagi anak-anak, tetapi perlulah diingat bahawa pengambilan makanan yang seimbang mengikut piramid makanan amatlah diperlukan terutama bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Terlalu banyak atau terlalu sedikit ialah bahaya. Ibu bapa perlu mempraktikkan makanan yang seimbang, kesederhanaan dan kepelbagaian dalam proses penyediaan makanan untuk anak-anak.
0 comments :
Post a Comment