Pentingnya Iodin Ketika Hamil
Iodin merupakan unsur surih yang diperlukan untuk pembentukan
hormon tiroid dalam badan. Hormon ini penting untuk pelbagai fungsi biologi
seperti sintesis protein dan pengawalaturan kadar metabolik asal.
Ketika hamil, wanita
perlukan nutrien secukupnya agar diri dan bayi dalam kandungan sihat.
Kekurangan sesetengah nutrien penting boleh menyebabkan kandungan bermasalah.
Antara yang perlu diambil berat ialah tentang pengambilan iodin. Ikuti kupasan
lanjut tentang hal ini oleh Profesor Creswell J. Eastman, Perunding Perubatan
Endokrinologi dari Universiti Sydney, Australia.
Menurut Prof. Eastman,
iodin penting bagi wanita hamil untuk mengelakkan bayi dalam kandungan
mengalami masalah. Katanya, iodin perlu untuk perkembangan otak dan sistem
saraf bayi yang normal terutamanya ketika masih dalam kandungan. Dan keperluan
ini berlanjutan sehinggalah kanak-kanak tersebut berusia dua hingga tiga tahun.
Tambah beliau lagi,
wanita hamil dan bayi memerlukan iodin untuk menghasilkan hormon tiroid. Hormon
inilah yang akan menyokong pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak pada tahap
yang normal. Selain itu, hormon tiroid ini dapat membantu mengekalkan tahap
metabolisme badan.
Kekurangan iodin juga
boleh menyebabkan paras tiroksin rendah yang akan merencatkan pertumbuhan
mental dan fizikal kanak-kanak. Jadi, sangat penting memastikan bayi dalam
kandungan dan kanak-kanak mendapat iodin secukupnya. Untuk pengetahuan,
lazimnya, iodin tidak disimpan dalam tubuh dan perlu diambil setiap hari.
Makanan yang mengandungi iodin ialah seperti makanan laut, susu dan produk
tenusu. Bagi wanita hamil yang ‘vegetarian’, pengambilan susu yang secukupnya
penting bagi memastikan kuantiti iodin yang mereka dapat menampung keperluan
harian.
“Wanita hamil dan
wanita yang menyusukan perlukan iodin lebih banyak daripada orang biasa,” kata
Prof. Eastman yang turut bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Perubatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menghasilkan kajian mengenai Kekurangan
Iodin dalam Kanak-kanak (IDD).
Berdasarkan kajian
yang telah dijalankan, kekurangan iodin akan menyebabkan pelbagai masalah
kepada bayi yang baru lahir. Antaranya ialah terencat akal, pembesaran
terbantut, pekak, bisu dan lemah anggota badan. Oleh sebab itu, pengambilan
iodin sepanjang tempoh kehamilan sangat penting. Ketahuilah bahawa tubuh hanya
perlukan sedikit iodin dan bahan ini wujud dalam kebanyakan makanan.
INFO
Iodin merupakan
nutrien penting bagi manusia untuk merangsang proses tumbesaran, perkembangan
saraf dan pembentukan sel otak bayi dalam kandungan dan kanak-kanak. Pun
begitu, kuantiti yang diperlukan sangat sedikit iaitu sebanyak 150mikrogram
(µg) setiap hari bagi orang dewasa. Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan
Negara dan Kementerian Kesihatan New Zealand menyarankan agar wanita hamil
mengambil sebanyak 220µg iodin setiap hari. Manakala bagi wanita yang
menyusukan bayi, dicadangkan agar mengambil sebanyak 270µg setiap hari.
Kekurangan iodin bagi
wanita hamil boleh mengakibatkan:
~ Gangguan terhadap
perkembangan otak bayi dalam kandungan
~ Keguguran
~ Kematian bayi dalam
kandungan
~ Mati semasa dilahirkan
~ Kelahiran anak yang
juga kurang iodin
SUMBER
Iodin terjadi dalam
jumlah yang berbeza yang terdapat dalam makanan dan air minuman. Makanan laut
seperti udang kara, tiram, sardin dan rumpai laut adalah sumber iodin yang
baik.
Jumlah iodin yang terkandung
dalam susu dan telur adalah ditentukan oleh jumlah iodin yang terdapat dalam
makanan ternakan tersebut. Kandungan iodin yang terdapat pada sayur-sayuran
adalah berbeza mengikut jumlah kandungan iodin yang terdapat pada tanah.
Jadi kepada ibu-ibu yang hamil seimbangkanlah sumber iodin dalam
menu makanan anda agar terhindar daripada sebarang penyakit yang tidak diingini
baik kepada kita atau bayi kita..
0 comments :
Post a Comment