Ibu Menyusu: Makanan Yang Boleh Membantu Meningkatkan Susu Badan
~ Beberapa tahun kebelakangan ini semakin ramai ibu-ibu yang menyedari akan kepentingan menyusukan bayi mereka dengan susu ibu. Perkara ini adalah satu perkembangan yang amat positif kerana kebaikan susu ibu itu sendiri. Titisan susu ibu yang kaya dengan pelbagai khasiat dan nutrien akan dapat diserap ke dalam tubuh bayi yang amat diperlukan untuk tumbesaran mereka.
Pemakanan penggalak susu
Terdapat pelbagai makanan/tumbuhan yang dikelaskan sebagai penggalak susu/milk booster. Antaranya ialah:
a) Lobak putih
- Sesuai dimasak sup bersama daun kucai dan ikan bilis. Boleh juga dikikis dan direndam di dalam air suam sebelum diminum begitu sahaja.
b) Buah longan kering
- Rebus longan kering bersama kurma kering, kismis atau barli. Lebih sedap jika dimasukkan sedikit gula merah.
c) Kurma
- Makanan sunnah yang kaya dengan pelbagai khasiat, di antaranya adalah protein, serat, glukosa, vitamin A, vitamin C, sodium dan potassium. Ia juga kaya dengan zat besi dan membekalkan kalori segera yang diperlukan terutamanya buat ibu hamil dan menyusu
d) Pucuk betik/Betik muda
Pucuk betik atau betik muda boleh dimakan mentah dan dimakan bersama nasi sebagai ulam-ulaman.
e) Halba/Fenugreek
- Rendam sedikit halba dengan air suam dan minum airnya. Boleh juga diletakkan di dalam masakan seperti sup, kari atau nasi.
f) Habbatus sauda/Jintan hitam/Black seed
- Salah satu makanan sunnah yang diamalkan Rasulullah. Amat berkhasiat sehinggakan Rasulullah pernah bersabda bahawa ia berupaya mengubati pelbagai penyakit kecuali maut. Boleh didapati dalam bentuk kapsul.
g) Moringa/murunggai/pokok kelor
- Pokok murunggai terkenal di kalangan masyarakat India dan dikenali sebagai pokok kelor dalam masyarakat Melayu kita. Selain menambah susu ibu ia juga sesuai dimakan ketika sakit tekak ataupun selesema. Boleh didapati dalam bentuk kapsul dan uncang teh.
h) Jantung pisang
- Boleh di celur dan dimakan seperti ulam-ulaman atau dimasak gulai lemak.
i) Daun cekur manis/pucuk manis
- Sedap dimasak gulai lemak sepertimana ulam jantung pisang.
j) Kacang soya
- Makanan berasaskan kacang soya seperti air soya, tempe atau tauhu diketahui umum berupaya menambah pengeluaran susu ibu. Walaubagaimanapun, pengambilan susu soya buatan sendiri adalah tidak digalakkan kerana kemungkinan besar anda akan terdedah kepada kesan negatif kacang soya yang tidak diingini.
Pengambilan Air
- Haruslah diingat bahawa ibu menyusu mestilah kerap meminum air masak supaya tidak mengalami dehidrasi atau kekurangan air dalam badan. Dehidrasi boleh membuatkan susu ibu menjadi kurang. Oleh itu, ibu menyusu haruslah meminum air masak (plain water) sekurang-kurangnya 2 liter sehari.
Pemakanan seimbang
- Pemakanan ibu menyusu haruslah seimbang seperti mana yang disarankan dalam piramid kesihatan. Lebihkan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan dalam diet seharian. Selain matlamat menyusukan bayi, para ibu haruslah menjaga kesihatan diri.
** Namun yang paling penting ialah seberapa kerap anda menyusukan bayi anda.Ini kerana semakin banyak bayi anda menyusu semakin bertambahlah air susu anda. Walau bagaimanapun, diharap dengan mengamalkan pemakanan di atas, para-para ibu dapat menambah penghasilan susu badan. Semoga berhasil




0 comments :
Post a Comment