Sunday, 15 December 2013

Makanan Berkhasiat, Anak Sihat

Posted by Unknown at 17:09

MAKANAN BERKHASIAT, ANAK SIHAT…
Masuk sahaja usia 6 bulan, kebanyakan bayi sudah mula diperkenalkan kepada makanan pejal. Sedikit demi sedikit mereka belajar mengenali makanan yang pelbagai jenis dan rasa. Supaya anak terus mendapat makanan yang berkhasiat dan berguna untuk tumbesarannya. Ketika ini peranan ibu bapa sangat penting. Mereka perlu memastikan setiap makanan yang masuk ke dalam perut anak benar-benar berkhasiat.
Untuk membantu anak mendapatkan nutrien yang cukup bagi tumbesaran yang optimum, ada beberapa tip boleh dijadikan amalan.
Tip 1: Beri protein yang mencukupi
Jumlah protein yang mencukupi dalam diet harian anak penting untuk kesihatannya. Protein bukan sahaja menyumbang ke arah tumbesaran tubuh untuk kanak-kanak yang sedang membesar tetapi juga untuk membantu membina dan memperbaiki tisu badannya yang rosak.
Tip 2: Pastikan anak cukup zat besi
Bagi kanak-kanak yang sedang membesar, zat besi penting untuk penghasilan hemoglobin iaitu komponen dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh. Untuk pengetahuan, jumlah darah meningkat sejajar dengan peningkatan pertumbuhan anak. Oleh sebab itulah kanak-kanak perlukan zat besi yang secukupnya.  Zat besi boleh diperoleh daripada daging merah, hasil tenusu, makanan laut, legum dan sayur-sayuran hijau seperti brokoli. Ketahuilah bahawa vitamin C yang ada dalam buah-buahan sitrus boleh untuk membantu menyerap zat besi dari sumber bukan daging.
Tip 3: Hadkan pengambilan gula
Gula merupakan karbohidrat ringkas dan boleh didapati dalam buah-buahan, makanan pencuci mulut dan minuman berperisa. Seperti yang diketahui ramai, gula membekalkan tenaga tetapi kurang kandungan nutriennya. Jadi, pastikan anak anda tidak terlebih mengambil gula. Selain itu, elakkan daripada memberi anak minum minuman berkarbonat dan galakkan anak minum banyak air kosong.Anda juga perlu mengehadkan pengambilan snek yang manis oleh anak. Sebaliknya, galakkan mereka makan makanan yang kaya nutrien dan tenaga.
Tip 4: Jangan gunakan garam
Banyak makanan yang siap yang ada di pasaran bukan dibuat untuk kanak-kanak dan selalunya mengandungi terlalu banyak garam. Jadi, elakkan membeli makanan siap untuk anak. Sebaiknya sediakan sendiri makanan untuk anak. Akan tetapi ketika menyediakan makanan untuk anak, kurangkan penggunaan garam dan kalau boleh jangan masukkan garam ke dalam makanan mereka terutamanya bagi makanan bayi.
Tip 5: Pengambilan lemak baik
Bukan semua lemak tidak baik untuk kesihatan. Tidak kira sama ada orang dewasa ataupun kanak-kanak, masing-masing perlukan lemak untuk kegunaan tubuh. Lemak mengandungi asid lemak yang penting dan sesetengah jenis mikro nutrien yang sangat diperlukan untuk pembentukan otak dan menjalankan fungsinya dengan sebaiknya. Ketika menyediakan makanan untuk anak, pilihlah bahan mentah yang rendah lemak tepunya, rendah asid lemak dan rendah kolesterol. Sebaliknya, pilihlah makanan yang mengandungi lemak daripada sayur-sayuran dan ikan kerana bahan-bahan tersebut kaya dengan Omega 3 dan Omega 6. Omega 3 boleh didapati daripada telur, ikan laut dalam seperti salmon, ikan bilis dan tuna.
Tip 6: Tetapkan waktu makan
Ajarkanlah tabiat pemakanan sihat kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ini termasuklah bila waktunya mereka perlu makan dan bukan hanya apa yang boleh dan apa yang tidak boleh mereka makan. Kanak-kanak disarankan mengambil 3 hidangan utama dan  2 hingga 3 hidangan snek sehari. Hal ini membantu mengelakkan pengambilan makanan ringan yang tidak terkawal dan dalam masa yang sama mengurangkan risiko obesiti.
Tip 7: Makan bersama keluarga
Makan bersama keluarga adalah amalan yang baik dan perlu diamalkan oleh setiap keluarga yang ada di dunia ini. Inilah masanya untuk mengeratkan hubungan seisi keluarga. Jadi, sediakanlah hidangan yang istimewa dan pastinya makanan tersebut kaya dengan khasiat. Inilah juga masanya untuk ibu bapa mengajar anak etika di meja makan dan tabiat pemakanan yang baik.
Info tambahan:
Omega 6 ada dalam :
·         Minyak kacang soya
·         Minyak canola
·         Biji labu
·         Sayur-sayuran hijau
·         Walnut
Jadi, diharap dengan sedikit perkongsian tip ini, dapat memberi kita panduan mengenai nutrien yang diperlukan oleh bayi kita agar mendapatkan nutrien yang cukup bagi pertumbuhannya yang optimum.


0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting