Tuesday, 24 December 2013

Epidural Kelegaan Sakit Bersalin

Posted by Unknown at 15:57
EPIDURAL KELEGAAN SAKIT BERSALIN
>> Sakit bersalin memang sukar digambarkan. Hanya yang pernah merasa sahaja tahu bagaimana peritnya bersalin. Kalau sakit gigi itu sakit, maka sakit wanita bersalin lebih dari itu. Sesetengah yang lain pula mengandaikan sakit senggugut cuma 1:10 sakit bersalin. Tuhan sahaja yang tahu. Patutlah syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu. Kalaulah orang lelaki tahu macam mana sakit bersalin, alamatnya, semua pasangan suami isteri di dunia ini hanya punya anak seorang sahajalah…
 >> Kenyataan ini turut diakui oleh Pakar Bius, Pusat Perubatan Kampung Bharu (KBMC), Dr. Farahah Osman yang menyifatkan kesakitan ketika melahirkan sebagai satu proses yang amat menyakitkan terutama bagi yang menimang cahaya mata pertama. ‘‘Malah, ia boleh menyebabkan tekanan emosi kepada ibu-ibu ditambah pula dengan pengalaman yang sering dikongsi oleh mereka yang pernah melalui proses melahirkan anak, sering kali dibayangi dengan cerita-cerita cemas yang mendebarkan serta mengerikan.
 >> Bagaimanapun, zaman di mana wanita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menjerit kesakitan tanpa sebarang bantuan ubat-ubatan penahan sakit bersalin, telah lama berlalu. Kini, teknik-teknik pengurusan kesakitan seperti yang paling popular, epidural, mampu menukar pengalaman menyakitkan menjadi lebih tenang dan terkawal, malah selesa.
 >> Epidural adalah ubat penahan sakit yang paling efektif dan sangat popular buat masa sekarang. Satu catheter kecil akan dimasukkan ke dalam tulang belakang dan ubat akan diberikan secara berterusan sehinggalah anak anda dilahirkan. Anda mungkin tidak dapat merasa perasaan untuk meneran sebagaimana wanita lain tetapi ia tidak melambatkan proses bersalin.


Kegunaan epidural
1. Mengurangkan kesakitan semasa bersalin.
2. Teknik pembiusan untuk pembedahan seperti cesarean, pembedahan ortopedik (misalnya gantian sendi lutut/pinggul), pembedahan urologi (misalnya prostat, pundi kencing, batu karang di saluran kencing dan lain-lain), pembedahan ginekologi (sakit puan) seperti histerektomi dan pembedahan vaskular.
3. Teknik gabungan dengan pembiusan penuh sebagai penahan kesakitan semasa pembedahan dan selepas pembedahan seperti pembedahan usus.
4. Mengurangkan kesakitan akut seperti patah rusuk dan kesakitan kronik seperti kanser/paliatif.

Secara praktikalnya, untuk tujuan pembedahan, ada dua lagi teknik pembiusan separuh yang lebih kerap digunakan iaitu:
     1)       Kaedah spinal.Biasanya kaedah spinal digunakan untuk pembedahan yang agak singkat (1 ke 2 jam)    dan kelebihannya adalah dari segi kesan yang lebih cepat dan efektif.

2)     Gabungan epidural bersama spinal (CSE).Teknik CSE digunakan apabila pembedahan mengambil masa yang lebih lama dan pesakit mendapat analgesia selepas pembedahan. Dari segi teknik pembiusan adalah lebih kurang sama. Perbezaan adalah dari segi saiz dan jenis jarum dan kaedah spinal adalah tanpa dimasukkan kateter.

Kesan kesakitan bersalin terhadap ibu dan anak
Kesakitan semasa bersalin jika tidak dikawal boleh juga mengakibatkan tekanan darah dan nadi pesakit meningkat.Ini berlaku ekoran rembesan hormon- hormon seperti adrenalin secara berlebihan ke dalam darah pesakit. Apabila tekanan darah ibu meningkat, ia mengakibatkan bekalan darah ke uri dan ke badan anak dalam kandungan berkurangan.
 Ibu-ibu juga akan bernafas dengan pantas disebabkan oleh kesakitan tadi seterusnya mengakibatkan dehidrasi (kekurangan air dalam badan) dan alkalosis kepada bayi yang boleh membahayakan ibu dan bayi di dalam kandungan.Masalah ini, lebih membahayakan kepada ibu-ibu yang menghadapi masalah tekanan darah tinggi ketika hamil atau mengalami masalah jantung.

Bagi menangani masalah ini, kaedah pembiusan epidural diperkenalkan di mana ia adalah teknik yang paling berkesan dan selamat berbanding kaedah konvensional lain seperti suntikan ubat penahan sakit, gas entonox dan sebagainya.
 Kebaikan kaedah epidural:
a)     Rangsangan kesakitan daripada rahim yang mengecut tidak akan sampai ke otak untuk ditafsirkan sebagai kesakitan.

b)     Proses pembiusan ini mengambil masa yang singkat dan kesannya dapat dirasai dalam tempoh beberapa minit sahaja (10 hingga 20 minit), bergantung kepada jenis ubat bius yang digunakan dan dos ubat tersebut.
c)     Ubat bius ini akan dialirkan secara berterusan melalui kateter yang dimasukkan tadi dan kesannya dapat bertahan selama yang diperlukan iaitu sehingga proses kelahiran selesai.
d)     Ia juga dapat digunakan untuk pembiusan setempat semasa melakukan pembedahan cesarean bagi ibu-ibu yang tidak dapat melahirkan anak secara normal di mana, ubat yang lebih tinggi dosnya diberikan melalui kateter yang sama. Jadi ibu-ibu tidak perlu diberikan suntikan bius untuk kali kedua.
e)     Dengan kaedah epidural, pesakit akan dapat melihat, menyentuh dan mendengar tangisan bayi sebaik sahaja zuriat itu dilahirkan dan ibu-ibu juga dapat terus menyusukan mereka sebaik sahaja dilahirkan. Ini dapat mengeratkan ikatan kasih sayang di antara ibu dan anak.
*** Kaedah ini amat digalakkan untuk ibu-ibu yang mempunyai penyakit darah tinggi atau praeklamsia dan juga penyakit jantung. Sebelum kaedah epidural diberikan, pakar bius akan memastikan tiada halangan atau kontraindikasi untuk kaedah ini contohnya masalah pembekuan darah, infeksi di tempat bius atau dalam darah, tekanan darah rendah dan sebagainya.



Kesan pembiusan epidural kepada ibu
Biasanya kesan-kesan sampingan ini mudah diatasi dan tidak berbahaya seperti:
       I.        Terketar-ketar,
      II.        Mengantuk,
     III.        Sakit belakang,
    IV.        Sakit kepala, loya (dapat dikurangkan dengan ubat penahan muntah)
     V.        Tekanan darah menurun (boleh dielakkan dengan pemberian cecair melalui infusi sebelum prosedur dimulakan dan diteruskan ketika penggunaan epidural).

Salah tanggapan epidural dengan sakit pinggang atau belakang. Jika epidural dilakukan dengan mudah dan tiada komplikasi, kesan sampingan jangka masa panjang adalah sangat minimum. 
‘‘Kajian terbaru yang dijalankan oleh hospital-hospital luar negara menunjukkan risiko mendapat sakit belakang selepas epidural sama seperti risiko bagi wanita yang bersalin tanpa epidural. Oleh itu, masalah sakit belakang ini berpunca ketika mengandung lagi, dan tidak berkait dengan kesan berpanjangan dari teknik epidural.

Pening?
Pening boleh berlaku sekiranya cecair spinal terkeluar semasa melakukan epidural iaitu apabila lapisan dura tercucuk oleh jarum epidural.Ini boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk, lebih-lebih lagi bila ada pertukaran posisi disebabkan oleh tekanan cecair dalam otak yang berkurangan. Ia biasanya pulih dengan sendirinya dan dengan mengambil minuman berkafein, tetapi dalam kes lebih serius, cara yang dilakukan adalah dengan memasukkan sedikit darah ke kawasan ini seolah-olah untuk menampal tempat yang luka itu. Komplikasi ini dapat dikurangkan sekiranya pesakit dapat memberikan kerjasama yang baik semasa prosedur dijalankan, juga bergantung kepada kepakaran atau pengalaman doktor yang melakukannya.

Kesimpulannya
* Sakit adalah sebahagian proses bersalin
* Reaksi kepada kesakitan adalah berbeza-beza bergantung kepada pengalaman, pelajaran dan ketahanan mental ibu-ibu
* Epidural adalah cara yang konsisten berkesan dengan kesan sampingan yang minimum kepada ibu dan bayi
* Setiap ibu berhak menggunakan kaedah epidural
* Berbincanglah dengan pakar sakit puan dan pakar bius untuk mendapatkan apa yang terbaik untuk anda dan bayi anda.



0 comments :

Post a Comment

 

Blog Baby Studio | Tips Kesihatan dan Keibubapaan | Produk Kanak-kanak Copyright © 2011 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by web hosting